Sunday, November 22, 2015

Kembali

Hidup aku banyak barubah. Banyak sangat. Daripada tinggal di apartment usang kini dah berpindah ke kondominium mewah. Aku bersyukur atas nikmat yang diberikan Allah. Tapi, hati aku masih rasakan kesunyian yang susah untuk aku luahkan dengan kata-kata. Aku jadi malas untuk pulang ke kampung. Mak asyik carikan aku calon isteri. Doktor, peguam, guru, polis, semuanya aku langsung tak pandang. Aku takut aku kecewakan mereka. Aku tahu, aku sedar jauh dalam lubuk hati ni aku masih tak mampu untuk jadi lelaki sejati, lelaki yang berupaya untuk mengemudi sebuah bahtera perkahwinan. 

Aku banyak habiskan masa dengan kerja. Biasanya hijung minggu aku akan keluar bersama Haris. Entah apa silapnya, sejak 3 minggu yang lalu hubungan kami makin dingin. Mungkin kerana sikap aku yang mudah tersinggung. Mungkin dengan sikap aku yang kerap merajuk. Padahal, dia tak tahu yang aku menyimpan perasaan. Kalau lah dia tahu... Entahlah, aku tak mahu letakkan apa apa harapan. Sebab aku sedar dia adalah lelaki straight yang tak akan jatuh hati terhadap aku. 

Mie sudahpun bergelar seorang bapa. Ingat lagi, tanggal 13 November, dia sangat teruja. 

"Im!! Bini aku dah selamat bersalin! Aku dah jadi ayah!"

"Tahniah Mie! Sekarang dah jadi ayah!"

"Hehe.. Nanti aku bawak dia jumpa hang!"

"Ha, elok lah.. Nanti bawak sini tau lepas habis pantang. Boleh aku bawak dia mandi kolam bawah kondo ni"

"Haha.. Tu la aku ingat nak ajar dia berenang umur setahun."

"Ceh.. Berangan macam mat salleh pulak hang ni.. Nama nak bagi nama apa?"

"Muhammad Faid Aysaar Bin Mohammad Suhaimi"

Aku tumpang gembira untuk Mie. Aku tahu dia bahagia walaupun masih berjauhan dengan isteri. Masih tak mampu tinggal sebumbung kerana tempat kerja masing-masing berjauhan.

Pada masa yang sama, Basyeer kembali. Aku rasa bagaikan bermimpi. Tiba-tiba dia text aku nak datang rumah. Dia ajak keluar, lepak di mamak sambil kongsi cerita masing-masing sejak aku "lost contact" dengan dia. Aku agak gugup untuk bersemuka. Mana tidaknya, sejak aku melangkah keluar dari rumah dia, lari dan pulang ke Kedah, aku terus buang dia dari hidup aku. Kami langsung tak berhubung. Tapi, malam tu kami berdua masing-masing berpura-pura seperti tak ada apa yang pernah terjadi antara kami. 

"Aku ni dari dulu lagi sama ja. Kereta lama dulu pun asik rosak. Ni kereta Honda ni pun asik rosak je"

"Bawak kasaq sangat kot. "

"Mana ada.. Aku drive macam orang lain jugak la. Hari tu Epie nak konvo, kereta aku buat hal, leaking pulak. Aku bawak jugak lah.. Sebab aku memang taknak pisang berbuah dua kali. Aku dah kena dah ada orang tu merajuk sebab tak p konvo dia. Terus lari balik Kedah tu"

Aku hanya senyum. Aku pun tak tahu apa nak cakap. Apa yang dia katakan memang benar belaka. Bila difikirkan balik, punca aku lari dari dia hanya sebab dia gagal untuk attend konvokesyen aku, dan sedikit hasutan dari Rahim.