Saturday, August 15, 2015

Melawan Perasaan

Apa yang aku sangkakan selama ini bahawa wang ringgit boleh buat aku tinggalkan perasaan cinta kepada lelaki sememangnya salah. Aku anggap dunia PLU aku sudahpun berakhir, tetapi aku tak mampu melawan perasaan sayang aku terhadap seseorang.

Setelah setahun berlalu, tak seorang lelaki pun yang berjaya menambat hati aku. Semua yang datang buatkan aku mual. Kenangan aku bersama Rahim semakin aku lupakan dalam tempoh setahun ini. Tapi.. datang seseorang dalam hidup aku yang buatkan aku tak mampu bersendirian.

Haris adalah kawan aku sejak dibangku sekolah. Kami memang rapat di sekolah rendah. Masuk sekolah menengah, aku dan dia dah tak rapat, bahkan kami langsung tak bertegur sapa. Dia dengan kawan-kawan dia, aku dengan kawan-kawan aku. Mana tidaknya, aku memang agak memilih dalam berkawan semasa di sekolah. Dia selekeh, belajar di kelas tercorot. Selepas tingkatan 3, dia pindah ke sekolah vokesional. Aku habiskan tingkatan 5 di sekolah yang sama. Selepas tu, aku dah tak pernah nampak dia lagi dah. Lepas lanjutkan pelajaran di universiti, mula datangnya laman sosial facebook, kami hanya sekadar kenalan di facebook. Tak pernah tegur satu sama lain pun. 

Beberapa bulan lepas, ada seorang minah ni buat group whatsapp untuk kawan-kawan sekolah rendah. Dari situ aku dapat tahu dia memang bekerja di Penang dan rumahnya tak jauh dengan rumah aku. Kami mula berjumpa berborak sekali sekala. Tapi, akhir-akhir ini aku dan dia dah rapat semacam. Aku pun tak tahu. Kenapa semua ni secara tiba-tiba? Dulu dia selekeh, sekarang memang sangat tampan, tinggi memang ciri-ciri lelaki idaman aku. Dia memang jauh berbeza. 

Daripada keluar sekali sekala, sekarang kami dah kerap bersama. Tiap hujung miggu mesti aku habiskan masa bersama dia. Selalunya, jumaat malam kami akan tonton wayang sebab TGV bagi free tiket jika beli satu tiket gunakan citibank. Mana saja aku nak pergi, dia akan bawa aku. Walaupun sabtu dia bekerja kami masih habiskan masa sehingga lewat malam. Kadang-kadang kami tidur bersama di rumahnya, tak pun di rumah aku. 

Semalam, dia bawa aku ke kenduri kahwin rakannya. Sesudah tu, kami bersiar-siar di Georgetown sebelum pergi pula ke open house kelab kereta dia. Dia selesa bawa aku kemana dia nak pergi. Lepas pulang ke rumahnya dalam jam 12 tengah malam, dia mandi dan tukar pakaian dia terus bawa aku pulang ke rumah. Mulanya, kami rancang untuk ke The Lost World of Tambun, tapi aku tahu dari riak wajahnya dia dah penat. Aku mandi dan salinkan pakaian, sementara dia terlelap di sofa depan TV. Batalkan sajalah niat nak pergi bercuti di Tambun, biar lah dia berehat. Aku ajak dia tidur di dalam bilik. Aku tenung wajah dia, dan aku tersedar yang aku sudah mula jatuh cinta kepada dia.

Sepanjang perjalanan kami semalam, kami banyak berbual tentang-hal-hal lepas. Bagaimana hubungan dia putus selepas setahun bertunang dan 6 tahun bersama. Memang dia langsung tidak kekok untuk ceritakan kepada aku segalanya. Kisah dia, memang agak menyedihkan. Ditinggalkan tunang setelah kemalangan dan tak punya banyak wang untuk langsungkan perkahwinan kerana semua wang yang dia kumpul untuk majlis perkahwinan telah digunakan untuk kos rawatan hospital.

Aku bangun pagi ini dengan rasa hati yang tak senang. Aku rasa ianya menyakitkan. Aku tak mampu menolak rasa hati. Aku tak mampu menipu diri aku sendiri bahawa aku sudahpun punnyai perasaan terhadap dia. Lebih parah, sememangnya aku tahu Haris seorang straight! Dia baru sahaja pulang ke rumah sejam yang lalu. Baru sekejap tadi dia hubungi aku untuk simpan jam tangan yang dia tertinggal di atas katil aku. 

Aku mula berfikir, mampukah aku kawal diri? Adakah aku perlu berjauhan dengan dia? Kenapa perasaan ini hadir secara tiba-tiba? Aku tak faham!! Aku hanya mahukan kawan yang sentiasa bersama aku, tapi kenapa perasaan ini pula yang muncul? Sungguh! Aku takut! Aku takut aku terluka lagi. Aku takut kerana aku sendiri tahu yang dia adalah straight dan cinta aku hanya bertepuk sebelah tangan!


1 comment:

lelaki seksi said...

Perasaan itu datang tanpa perlu dijemput. Terserah kepada diri kita sendiri bagaimana mahu untuk menguruskannya...