Wednesday, July 2, 2014

Abang

Aku sebenarnya tak boleh lari daripada keinginan untuk mendapat kasih sayang seorang abang. Naluri aku terhadap lelaki mungkin disebabkan aku terlalu rapat dengan arwah abang aku. Dan kesilapan aku bersama Rahim mungkin disebabkan aku terlalu rindukan abang aku.

Aku dibesarkan sebangai anak bongsu dan aku dimanjakan oleh setiap ahli keluarga. Jarak perbezaan umur antara aku dan kakak sulung adalah 15 tahun, manakala jarak aku dan abang sebelum aku adalah 4 tahun. Sejak kecil, abang aku bukanlah baik sangat. Tapi bagi aku dia sudah cukup baik, cuma egonya terlalu tinggi. Kalau dia keluar bermain, mak selalu paksa dia bawa aku sekali. Mula sekolah rendah, dia bawa aku ke sekolah bersama dengan menaiki basikal. Kebiasaannya, aku akan tunggu dia di garaj tempat letak basikal sekolah selepas wakti balik. Kebiasaannya dia pulang lewat kerana ada kelas tambahan hingga pukul 2 petang. Pada waktu rehat pula, aku perlu jumpa dia kerana dia yang pegang duit perbelanjaan di sekolah. 

Bila dia di sekolah menengah, dia pergi ke sekolah dengan menaiki motosikal. Sekolahnya di bandar. Jadi, pada jam 6.45 pagi dia akan hantar aku ke sekolah dan dia terus pergi ke sekolah dia. Memang aku juara pergi sekolah paling awal, gelap gelita. Kadang-kadang dia terpaksa temankan aku seketika kerana aku takut masuk ke sekolah dengan hari masih gelap. Waktu petang, kemana saja dia pergi, aku perlu ikut. Itu arahan mak. Apa saja dia buat di luar rumah semua aku tahu. Semua rahsia dia dalam genggaman aku. Aku agak pandai menyimpan rahsia. Pernah aku lihat dia belajar merokok. Sebelum balik rumah selalunya dia berpesan;

"Kalau hang bagitau mak, siap hang!"

Kadang-kadang dia bawa aku mandi lombong, mandi sungai. Ayat yang sama diungkapkan. Kalau mak tahu siap la aku. Aku tak pernah beritahu apa-apa kepada kedua orang tua. Semua rahsia dia aku simpan rapat-rapat. Kadang-kadang, aku cemburu. Mak dan ayah selalunya puji dia. Dia anak yang tak banyak membantah. Semua arahan diikut tanpa sebarang pertanyaan. Dia tak banyak bercakap. Sampailah dia mula bekerja selepas tamat sekolah. Gajinya banyak. Mampu beli motosikal 125Z sendiri.Gajinya RM2500 tak termasuk OT. Agak tinggi untuk pekerja dengan kelayakan SPMV. Bila dia bekerja, hidup aku mewah, pergi ke sekolah dengan motosikal 125Z (masa tu motor ni budak kaya je boleh pakai okay!). Sebab tu aku boleh dikatakan kegilaan gadis-gadis di sekolah. Kalau dia dapat gaji, dia bawa aku pergi shopping baju dan kirimkan mak duit sebanyak RM500.

Tapi, dia terlalu mentah untuk pegang duit yang sebegitu banyak. Dua tahun selepas dia bekerja, wang untuk kiriman mak semakin berkurang. Dia sudah jarang belikan aku baju. Katanya, ada masalah ditempat kerja. Rupa-rupanya, dia terpengaruh dengan dadah. Aku tahu, tapi aku buat-buat tak tahu. Silap aku. Mungkin kalau dibendung lebih awal, mungkin dia tak bertambah teruk. Dia bijak. Dia berhenti kerja dan jadi pusher dadah. Tak siapa tahu selain aku. Aku pun masih mentah, aku tak kisah asalkan aku boleh berkongsi kemewahan. Dia belikan aku handphone Nokia 3310 (Harga ketika itu RM600), tatkala pelajar sekolah lain masih belum tahu apa itu handphone, aku dah pakai. Abang aku banyak koleksi handphone. Banyak yang pelik-pelik. Semua hasil dari penagih yang tak mampu langsaikan hutang. Lama-kelamaan keadaan bertambah teruk, dia semakin kurus. Tak ada lagi awek yang diperkenalkan kepada keluarga. Dulunya kaki perempuan. Bila dah tahu apa yang dia buat, famili bersepakat laporkan kepada polis. Aku balik dari sekolah, masuk ke bilik dan aku lihat semua buku-buku aku dan segala barang-barang dalam bilik digeledah polis. Mak cakap abang dah kena tangkap. Aku sedih. Dua tahun, dia terpaksa hidup di pusat serenti. Aku pula tidur di bilik keseorangan. Dulunya berdua dengan abnag. Selepas dia keluar dari pusat serenti, dia sambung pelajaran di ILP Ipoh. Aku pula di Politeknik. Dia menjadi pelajar terbaik ILP Ipoh pada masa itu, kerana dia punyai skil yang cukup hebat. Rupanya, sewaktu di ILP, dia bantu semua pensyarah mengajar pelajar-pelajar yang lain. Yalah, dia dah punyai 2 tahun pengalaman di industri. Aku lihat, hidupnya dah berubah, sudah kembali normal. 

Bersambung...

No comments: