Tuesday, July 8, 2014

Abang Part 2

Bila semuanya kembali normal, dia dijodohkan dengan wanita pilihannya. Hanya kenal satu sama lain dari internet dan terus langsungkan perkahwinan. Isterinya hanya tua setahun daripada aku. Pelajaran hanya setakat darjah enam. Tiada ayah dan ibu, hanya menumpang keluarga angkat. Hidup mereka sangat daif. Aku sebak melihat rumah mereka di Jengka, hanya menunggu masa untuk roboh. Selepas berkahwin, mereka hidup bersama di Penang. Aku di politeknik pada masa itu. Sebelum anak mereka dilahirkan, abang berhenti kerja, kerana kos hidup yang tinggi di Penang dan si isteri tidak mahu bekerja. Dia kembali ke kedah usahakan kebun orang tuaku yang jaraknya 30km dari rumah. Si isteri mula buat perangai, hidupnya bagai mak datin. Semua kerja rumah mak yang buat. Bangun paling awal pukul 10 pagi. Kadang-kadang aku sendiri rasa marah dengan isteri dia. Dah bawa dia keluar dari hidup merempat di dalam pedalaman sana, bila dah senang semua benda tak nak buat. Alasannya, dia mengandung. 

Selepas melahirkan anak, dia langsung tak mahu mengasuh. Orang tua aku juga yang ambil berat. Rumah tangga abang semakin goyah, si isteri mula ber SMS dengan bekas kekasih. Aku malas masuk campur hal rumah tangga mereka. Tapi aku boleh nampak perubahan yang abang aku lalui. Kalau dulu sebelum berkahwin dia selalu gembira, selalu saja ada masa untuk aku sekarang tak lagi. Semua yang dia lakukan serba tak kena. Isterinya melarikan diri entah kemana dan menuntut cerai. Hidupnya semakin sempit. Hanya bertemankan satu-satunya anak dia. Katanya, dia nak sekolahkan anak dia di sekolah pondok satu hari nanti. 

Dalam kekusutan hidup, dia mula terjebak kembali dengan dadah. Tapi kali ini lebih serius. Mak sampai menangis, tak tahu apa lagi nak buat. Aku selalu memarahi dia. Kalau aku marah, dia selalunya senyap. Kalau dulu, aku marah memang dia melenting. Sekarang tak lagi. Keyakinan diri dia memang sudah lama hilang. Dia hanya menunduk mendengar leteran kami sekeluarga. Semasa aku di UTeM, selalunya dia yang akan bank in duit kepada aku setiap hari isnin. Mak memang percayakan dia, dan kami sekeluarga tahu dia seorang yang amanah. Dia tak akan beli benda haram dengan duit pemberian orang tua. Sehari sebelum aku kembali ke UTeM selepas tamat cuti semester tahun 2, aku marah dia. Aku marah sangat. Aku malu bila kawan-kawan aku sebut pasal dia. Dia memalukan keluarga. Dia hanya sabar mendengar leteran aku. Dia diam, dan bermain dengan anaknya yang berusia setahun setengah itu.

Seminggu berikutnya, selepas pulang dari makan aku masuk ke bilik. Tiba-tiba aku mendapat satu panggilan dari kakak aku.

"Abang Syafiq dah takda"

"Apa?" soal aku

"Abang hang, Syafiq dah takda! Skang bagitau aku hang nak balik ke tak?"

Aku kaku. Kelu seribu bahasa. Aku tak tahu apa patut aku buat. Aku terdiam. Dalam sejam kemudian, aku hubungi kakak aku kembali mahukan kepastian. Kawan aku, Nabil yang terdengar perbualan aku di telefon segera beritahu kawan-kawan yang lain. Aku sungguh hilang akal seketika. Aku jadi bagaikan tunggul yang tak tahu nak buat apa-apa. Kawan-kawan aku bawa aku ke terminal bas, berikan aku duit poket. Mereka juga yang pergi ke satu bas ke bas yang lain untuk meminta aku tumpang. Syukur, ada bas yang akan ke Penang. Aku naiki bas ke penang. Sampai di Butterworth pada jam 4 pagi dan aku tunggu bas ke Alor Setar padan jam 6 pagi. Aku sampai di Alor Setar lebih kurang jam 7 pagi. Aku menangis sepanjang perjalanan dari Penang ke Kedah. Aku menyesal apa yang aku buat kepada abang. Macam mana aku nak minta maaf???

Sampai saja di rumah, aku tak pernah lihat begitu ramai orang yang datang dengan memakai kopiah dan songkok. Alunan bacaan yasin lagi membuat aku takut. Semua sanak saudara datang. Aku buat-buat leka tak mahu masuk ke dalam rumah. Dalam keluarga aku, aku memanggil ibu saudara dan bapa saudara dengan panggilan "Mama, Mami, Ibu, Mak, Mak Ngah, Papa, Abah, Bapak, Ayah dan Pak Ngah"

Aku melangkah masuk ke bilik aku. Terlihat sekujur tubuh sedang terbaring di atas katil aku. Jasad yang kaku, sejuk, pucat. 

"Adik takkan tengok saja? Tak nak cium abang ke? Kejap lagi abang dah nak pergi dah" usik Mama

Aku hanya terdiam, tak tahu apa nak buat. Aku cuba menahan air mata daripada menitis. 

"Adik, duduk.. cium dahi abang. Kejap lagi abang dah nak pergi dah"

Aku kucup dahi abang dengan lemah lembut. Seingat aku, itulah kali pertama aku kucup dahi abang aku. Sebak. Aku langtas bangun dan masuk ke bilik sebelah dan tutup pintu rapat rapat. Aku menangis sepuas-puasnya. Kenapa Allah ambil abang terlalu cepat tanpa sebarang petanda??

Mak cakap, abang demam selepas aku balik ke Melaka. Demamnya bertambah teruk bila dia langsung tak boleh telan makanan. Doktor kata, dia ada masalah penyakit usus. Tiap hari mak suapkan makanan tapi semuanya keluar balik. Mak sedar abang dah tak ada bila mak panggil dia, ketuk pintu banyak kali tapi tak menjawab. Doktor sahkan abang meninggal dunia akibat demam teruk. Tapi aku sedih, orang kampung semua bawa cerita abang aku meninggal dunia akibat ketagihan dadah. 

Kami sekeluarga berpindah ke kampung ayah, lebih kurang 10km dari rumah lama. Kami mulakan hidup baru di rumah lama. Rumah kecil, sederhana. Ayah sewakan rumah yang lama kepada orang lain. Lagipun, hidup berdekatan bandar perlukan kos yang lebih tinggi. Beberapa bulan berikutnya, kisah aku dan Rahim pun bermula.

Bila difikirkan balik, sememangnya hidup aku banyak bersandar kepada seorang abang. Bila abang dah tiada, Mie dan Basyeer adalah abang aku. Bila Mie mula berjauhan, aku letakkan semua kepada Basyeer.  Bila aku ada masalah dengan Basyeer, aku terpaksa letakkan Rahim. Tapi, Rahim tak mampu pikul bebanan sebagai seorang abang. Dia bukan lelaki penyabar. Dia tak tahu selesaikan masalah. Dia malas ambil tahu masalah yang aku tanggung. Tapi, aku buta. Aku letakkan juga harapan menggunung terhadap dia hanya kerana dia sudah bekerjaya. Hanya kerana janji-janji manis yang ditabur setiap hari. 

No comments: