Sunday, June 15, 2014

Berhenti Berharap

Aku penat, aku letih, aku lapar, aku sunyi, aku sedih, aku kecewa, aku merintih. Tak ada apa lagi yang aku perlu harapkan. Tak ada apa lagi harapan aku untuk teruskan. Aku tak mampu mencintai seorang yang tidak mencintai aku seperti mana aku mencintainya. Cinta aku terhadap dia begitu mendalam. Tapi, aku tak punya apa-apa. Aku kosong. Aku membebankan. Kalau aku ditempat dia pun aku akan cari seseorang yang lebih baik. Hati aku sudah mulai tawar.

Aku sampai di terminal bas jam 12.58 pagi. Suasana sunyi. Dalam keheningan malam, wajahnya aku terbayang. Aku duduk di lobby menunggu hari siang. Aku tak mampu melangkah untuk pulang ke rumah kerana malam sudah tua. Jalan untuk kerumahku pula gelap gelita. Pelbagai benda yang bermain di benak fikiran. Aku cuba SMS dia untuk beritahu dia aku sunyi, aku takut. Tapi tak diendahkan. Biarlah.. Aku tahu dia dengan kerjanya dan pukul 3 nanti dia dengan minatnya. Piala Dunia. 

Dalam kesunyian itu, aku mula berfikir. Apa gunanya kita menyayangi seseorang jika hatinya sudah lama mati. Dia bukan lagi sepertimana aku kenali dulu. Tiap hari dia dihormati, padahal aku tiap hari dipandang rendah oleh semua orang." Belajar tinggi-tinggi tapi menganggur?" Boleh dikatakan setiap hari ayat itu masuk ke telinga aku. Bukan aku tak cuba. Sedangkan dalam keadaan yang mendesak ini, aku mohon juga kerja yang tak perlukan segulung ijazah. Technician, supervisor, kerani, semua aku cuba. Mungkin Tuhan berikan dugaan aku sebegini supaya aku sedar aku tak perlu mengharap orang yang aku sayang untuk berkongsi kesusahan hidup yang aku lalui. Aku juga mulai sedar aku sudah dewasa, aku tak perlu bergantung kepada sesiapa untuk hidup. Aku perlu teruskan hidup aku walau apa sekalipun. Biarlah dia pergi dengan segala memori suka dan duka 3 tahun lalu. Aku sudah bersedia meletakkan semua memori aku di dalam arkib hidup. Tak ada apa lagi yang perlu diingati. Biarlah sejarah itu menjadi sejarah hitam dalam percintaan, supaya aku lebih matang dalam perhubungan. Biar dia bebas. Biar dia hidup tanpa aku yang hanya menyusahkan hidupnya. Ya, dia pernah berjanji semasa kami di kampus. Selepas tamat pengajian, dia akan dapatkan kerja dan kami tinggal bersama. Katanya, aku hanya lakukan kerja rumah dan dia akan menampung segala perbelanjaan. Itu semua hanya angan-angan kosong ketika dia masih tergilakan aku. Aku juga ia tak mungkin akan berlaku. Mana mungkin dia mampu menampung perbelanjaan kami berdua sedangkan kos hidup semakin tinggi. Dia pula, tidak lagi seperti dulu. Kalau dulu mampu hidup di kampus berbekalkan RM100 seminggu, sekarang tidak lagi. 

Sungguh aku rasa teranaya. Mana tidaknya, aku pergi ke Kuala Lumpur atas kehendaknya. Aku hanya nyatakan aku terlalu merindui dia tapi aku tahu, dalam keadaan kesempitan wang aku tak mampu. Tapi dia juga beriya-iya mahu kami berjumpa. Pendiriannya tidak tetap. Dua minggu sebelumnya, dia belanjakan RM1000 untuk percutian keluarganya di Kuantan. Aku tak kisah, dan aku juga terima kenyataan bahawa bulan ini mungkin kami tidak akan berjumpa. Tiba-tiba, dia yakinkan aku bahawa 13 Jun kami mampu berjumpa. Padahal, aku pun sedar dia tak punyai banyak wang untuk menampung semua perbelanjaan. Aku bantu dia untuk buat pinjaman  peribadi setidak-tidaknya untuk dia bertahan hingga ke hujung bulan. Bila aku sampai di Kuala Lumpur, semuanya indah. Dia ambil aku di Puduraya dan kami terus ke Ampang. Dalam bilik hotel, dia begitu baik. Tak dapat aku bayangkan perasaan aku ketika itu. Jam 3 pagi aku kejutkan dia kerana aku tahu dia tak mahu terlepas perlawanan bola sepak Piala Dunia. Aku mula memahami minatnya. Keesokan harinya, aku temani dia pula ke Stadium untuk perlawanan bola sepak. Ini bukan minat aku. Kerana aku sayang, aku ikutkan semua kehendaknya. Yang menjadi persoalan, adakah percutian dan perjumpaan aku dengan dia kali ini hanya untuk menyaksikan dia dengan minatnya? Dimana dia letakkan aku di dalam hidupnya bila aku mula ikut semua kehendaknya? Bila duit mulai surut, aku pula yang memberontak mahukan perhatian, dia pula yang mengamuk. Semuanya salah aku. Kerana aku membebankan. Walau aku ikut semua apa yang dia inginkan, aku tetap membebankan. 

Dengan badan aku yang busuk tak sempat mandi disuruh keluar dari hotel kerana sudah melebihi jam 12. Aku berjalan kaki ke hentian teksi dan aku hubungi Daleel untuk menjemputku dan hantar aku ke Segambut. Daleel bersetuju dan dia pula entah kemana menghilang. Tiba-tiba dia singgah di hentian bas dan memaksa aku naik kereta. Padahal aku sudahpun berputus harap. Daleel pula sudah dalam perjalanan. Dengan pujuk rayu dia, aku ikutkan juga. Dia bawa aku untuk makan tengah hari. Sungguh aku hilang selera untuk makan. Dengan mood yang terumbang ambing, hati yang rasa sakit dan dikhianati, rasa dipermainkan bagaimana aku nak menjamah makanan? Dia terus bawa aku ke hentian Duta. Aku berdiri di tepi jalan dengan matahari yang terik. Aku rasa bagai nak pengsan. Dia paksa aku beli tiket bas dan balik. Memang kami bergaduh besar. Apa hak dia untuk menghalau aku sedemikian rupa? Apa aku memang kanak-kanak yang perlu mengikut semua kehendak dia? Apa aku tak mampu berdikari untuk cari jalan aku sendiri? 

Aku menangis seorang diri mengenangkan apa yang berlaku pada hari itu. Aku cuba buang ego aku, bertanya khabar dia namun dia mencemuh. Semalaman aku di terminal bas langsung dia tidak hiraukan keselamatan aku. Apa yang dia hiraukan hanya perlawanan bola sepak. Aku tak pernah jumpa kaki bola sebegini rupa. Ketepikan semua hal lain semata-mata bola. Aku juga punya minat, tapi ada dia pernah ambil tahu apa minatku? 

Dalam kekusutan ini, Aku tak mampu lagi untuk teruskan. Hati aku sudahpun mati. Aku hanya mampu berdoa agar Tuhan berikan aku kekuatan untuk aku lalui semua ini. Aku juga mohon supaya dia lupakan aku dan biar karma membalas apa yang dia lakukan. Doa orang teranaya mudah dimakbulkan.

No comments: